Rabu, 30 Disember 2009

Pamer sijil halal palsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Permintaan laris terhadap jualan alat penapis air yang didakwa menjamin kesihatan diambil kesempatan satu syarikat tempatan melakukan penipuan dengan taktik mempamerkan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) khusus untuk memperdaya pelanggan.

Syarikat berkenaan dikesan mengeksploitasi logo halal Jakim pada kain rentang, kotak produk termasuk risalah jualan sebagai strategi sampingan yang dianggap berkesan untuk meyakinkan pengguna di kalangan umat Islam.

Kaedah penggunaan logo halal Jakim palsu terbabit dianggap mampu mengembalikan keyakinan pengguna yang sebelum ini was-was berikutan khabar angin wujudnya penapis air yang diperbuat daripada tulang khinzir dari luar negara.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya berkata, tindakan tidak bertanggungjawab syarikat memasarkan alat penapis air berkenaan dibongkar selepas pihaknya dan Jakim menerima aduan orang ramai yang sangsi berhubung penggunaan logo halal berkenaan.

Menurutnya, pihak Jakim kemudian menjalankan siasatan berhubung maklumat diterima sebelum mendapati logo halal yang diguna pakai syarikat pengedar alat penapis air terbabit palsu.

“Syarikat berkenaan tidak pernah diberikan kelulusan memiliki sijil halal menggunakan logo halal Jakim apatah lagi produk alat penapis air terbabit didakwa diimport dari luar negara,” katanya.

Susulan bukti dikumpulkan itu, sepasukan pegawai KPDNKK dibantu tiga pegawai Jakim dan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) menyerbu premis syarikat berkenaan di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, pihak berkuat kuasa melakukan pemeriksaan dan soal siasat terhadap kakitangan pengurusan syarikat terhadap penggunaan sijil halal Jakim berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak syarikat gagal memberi jawapan memuaskan terhadap kewujudan logo halal Jakim itu. Malah mereka memberi alasan pernah mendapatkan sijil halal daripada Jaip sebelum ini.

“Bagaimanapun siasatan mendapati sijil halal yang dikeluarkan Jaip sudah tamat tempoh sejak 2007. Ada kemungkinan, pihak syarikat beralih selera kepada sijil halal Jakim selepas menyedari kepentingannya untuk tujuan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, susulan penemuan logo halal palsu berkenaan, pihak KPDNKK merampas lebih 3,000 unit alat penapis air berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta untuk tindakan lanjut.

“Tindakan memindahkan semua barang rampasan berkenaan mengambil masa lebih enam jam berikutan semua alat penapis air terbabit hanya mampu dipindahkan sepenuhnya ke gudang KPDNKK.

“Walaupun pihak pengedar alat penapis air berkenaan mendakwa ia diimport sepenuhnya dari luar negara, namun pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan rapi mendapati premis terbabit seolah-olah dijadikan kilang untuk memasang alat penapis air jenama terkemuka itu,” katanya.

Difahamkan syarikat terbabit turut menggunakan khidmat personaliti terkemuka tanah air sebagai jurucakap produk berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Sumber Metro Online

1 ulasan:

ayongzul berkata...

Bagi umat Islam, perlulah mengambil berat tentang HALAL dan juga HARAM didalam sesuatu barangan yang hendak di MAKAN.

Catat Ulasan